Friday, April 30, 2010

Gambar: Majlis Silaturrahim 2B4 (24/April/2010)

Kepada Semua Warga 2B4..

Gambar2 menarik semasa Majlis Silaturrahim pada 24 April 2010 telah diuploadkan di facebook 2b4.

Friday, April 23, 2010

Gaji pengawal naik

KUALA LUMPUR 22 April - Mulai 1 Julai ini, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok di antara RM1,100 hingga RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 hingga 75 peratus.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan menaikkan gaji itu dibuat mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 bertujuan meningkatkan pendapatan pengawal keselamatan di negara ini.
Menurutnya, gaji pokok pengawal keselamatan pada masa ini adalah di antara RM300 hingga RM400 sebulan.
"Peningkatan gaji pokok ini melibatkan semua pengawal keselamatan iaitu pekerja tempatan atau asing," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau yakin peningkatan gaji tersebut akan menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk bekerja dalam bidang itu.
"Kenaikan gaji akan dibuat berasaskan kepada pelbagai zon geografi dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," jelasnya.
Subramaniam berkata, proses sama akan dilakukan bagi para pekerja dalam industri tekstil, elektronik dan hospitaliti.
Menurutnya, kementerian juga sedang menyemak semula perundangan buruh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir Mac lalu.
Beliau menambah, kementerian akan menggunakan pendekatan perbincangan secara terbuka dan telus dalam kajian semula itu seperti mengadakan taklimat dan perbincangan dengan wakil-wakil majikan dan pekerja.
"Kementerian berharap menerima maklum balas daripada pelbagai sektor terhadap cadangan-cadangan perubahan dan menerusi maklum balas itu kita akan gubal keputusan akhir," katanya.
Wakil majikan ialah Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) manakala wakil pekerja ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

MTUC sambut baik, gaji pengawal keselamatan naik

KUALA LUMPUR 22 April - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji pokok pengawal keselamatan sehingga 75 peratus sesuai dengan keperluan semasa.
Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, langkah kerajaan itu merupakan satu kejayaan kepada MTUC yang sudah lama memperjuangkan isu itu demi membela nasib pekerja.
"Secara keseluruhannya saya bersetuju dengan jumlah kenaikan yang diumumkan oleh kerajaan memandangkan gaji pengawal keselamatan sangat rendah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kementerian Sumber Manusia hari ini mengumumkan kenaikan gaji pengawal keselamatan daripada 67 hingga 75 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.
Gaji pokok pengawal keselamatan sekarang adalah antara RM300 hingga RN400 sebulan dan dengan kenaikan itu mereka akan menerima RM1,100 hingga RM1,450 sebulan.
Syed Shahir berkata, kenaikan itu berbaloi dengan risiko tugas yang terpaksa ditanggung oleh pengawal keselamatan yang jarang diambil berat oleh orang ramai.
Menurutnya, kerajaan juga harus membuat pemantauan terhadap syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengawal keselamatan agar mereka mematuhi peraturan gaji pokok baru itu.
"Kemungkinan ada syarikat yang akan ingkar dan kerajaan perlu mencari satu mekanisme supaya mereka mematuhi peraturan tersebut. Keputusan yang baik perlu diikuti dengan pelaksanaan yang baik juga,'' jelasnya.
Sementara itu Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, beliau masih belum menerima laporan lengkap berhubung kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan itu.
"Saya hanya mendengar kenaikan tersebut di Parlimen dan tidak menerima sebarang keputusan rasmi daripada kementerian.
"Saya menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji pengawal keselamatan jika syarat yang diberikan tidak membebankan majikan,'' katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu mengenai kenaikan yang diumumkan kementerian sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Monday, April 19, 2010